Sahabat-sahabatku..

Thursday, April 8, 2010

MARI SAMA-SAMA TAMBAH ILMU..

8

Perbahasan Alhamdulillah

&

HURAIAN MUQADDIMAH SAFINATUN NAJAH

SIRI 2

PERBAHASAN PERTAMA : PENGERTIAN ALHAMDULILLAH

Dari segi bahasa : Ialah memuji dengan perkataan atas jalan membesarkan kerana keelokkan yang dibangsakan kepada pilihan hambaNya.

Dari segi syara’ : Ialah perbuatan yang menunjukkan dengan membesarkan bagi yang memberi nikmat dengan sebab keadaanNya yang memberi nikmat ke atas hamba yang memuji atau selain hambaNya. Dan demikian perbuatan yang memuji itu sama ada memuji dengan hati atau lidah atau dengan anggota.

a) Adapun perbuatan memuji dengan hati itu ialah : Bahawa ia yakin di dalam hati keadaan Allah SWT itu bersifat dengan sifat yang elok.

b) Adapun perbuatan memuji dengan lidah itu ialah : Bahawa ia menyebut Allah SWT dengan lafaz-lafaz menunjukkan atas sifat-sifat keelokkan Allah.

c) Adapun perbuatan memuji dengan anggota itu ialah : Bahawa ia melaksanakan dengan perbuatan yang menunjukkan diatas membesarkan Allah SWT.

PERBAHASAN KEDUA : HUKUM ALHAMDULILLAH

Hukum Alhamdulillah ada 4 :-

1) Wajib seperti membaca Alhamdulillah didalam Al-Fatihah ketika solat dan membaca Alhamdulillah pada permulaan khutbah Jumaat.

2) Haram seperti membaca Alhamdulillah berasa gembira ketika melakukan maksiat.

3) Sunnah seperti membaca Alhamdulillah pada permulaan khutbah nikah dan pada permulaan doa dan penutupnya, selepas makan dan minum, pada permulaan mengarang kitab dan permulaan mengajar dan belajar.

4) Makruh seperti membaca Alhamdulillah pada tempat yang kotor contohnya tempat qodho’ hajat dan di tempat sembelih dan tempat buang najis binatang.

PERBAHASAN KETIGA : RUKUN ALHAMDULILLAH

Rukun Alhamdulillah ada 5 :-

1) Al-Hamid iaitu orang yang memuji.

2) Al-Mahmud iaitu yang dipuji.

3) Al-Mahmuudu bih iaitu perkara yang dipuji.

4) Al-Mahmuudu A’laih iaitu perkara yang dipuji atasnya.

5) Sighoh iaitu lafaz .

PERBAHASAN KEEMPAT : BAHAGIAN PUJI

Bahagian pujian itu ada 4 :-

1) Pujian Allah atas dirinya sendiri.

2) Pujian Allah atas hambanya seperti Allah memuji para Nabi dan para Wali.

3) Pujian hamba kepada Allah seperti hambanya memuji dengan perkataan Alhamdulillah.

4) Pujian hamba kepada hamba.

PERBAHASAN KELIMA : NABI-NABI YANG MENGUCAPKAN ALHAMDULILLAH

Abul Laith As-Samarkandi berkata;

“Puji syukur itu ibadat orang-orang dahulu hingga yang terakhir, ibadat para Malaikat, ibadat para Nabi-nabi, ibadat semua penduduk bumi, dan ibadat ahli syurga adapun ibadat para Nabi-nabi.

maka Nabi Adam AS ketika bersin mengucap ALHAMDULILLAH.

juga Nabi Nuh ketika ia di selamatkan bersama orang –orang mu’min dari bahaya yang menimpa kaumnya ia di perintah membaca AL-HAMDULILLAH ALLADZI NAJJANA MINAL QAUMIDZDHOLIMIN (Surah Al-Mu’minun 28) .“

Nabi Ibrahim AS juga membaca AL-HAMDULILLAH ALLADZI WAHABALI ALAL KIBARI ISMA’ILA WA ISHAQO INNA ROBBI LASAMII’UDDU’AA (Surah Ibrahim 39)

Juga Nabi Daud AS dan Nabi Sulaiman AS membaca AL-HAMDULILLAH ALLADZI FADHOLANA ALA KASIRIM MIN IBADIHIL MU’MININ maksudnya : Segala puji bagi Allah yang melebihkan kami daripada kebanyakan dari hamba-hamba-nya yang mu’min (Surah An-namel 15)

PERBAHASAN KEENAM : ORANG –ORANG SYURGA MEMUJI ALLAH DI ENAM TEPAT

1- Ketika mereka dipisahkan dari golongan orang-orang yang derhaka maka mereka mambaca AL-HAMDULILLAH ALLADZI NAJJANA MINAL QAUMIDZHOLIMN maksudnya: Segala Puji bagi Allah yang menyelamatkan kami dari kaum yang derhaka.

2- Ketika telah menyeberang Shirot (titian jambatan) maka mereka mambaca AL-HAMDULILLAH ALLADZI ADZ HABA ANNALHAZANA INNA ROBBANA LAGHOFURUN SYAKUR Maksudnya : Segala Puji bagi Allah yang telah menyingkirkan kami,sungguh Tuhan kami Maha Pengampun lagi Terpuji.

3- Setelah mandi dengan air hidup (ma’ul hayat) dan mereka melihat ke Syurga mereka membaca AL-HAMDULILLAH ALLADZI HADANA LIHAZA WAMA KUNNA LINAHTADIYA LAULA AN HADANALLAH maksudnya : Segala Puji bagi Allah yang memberi hidayat kepada kami untuk mencapai ini dan kami pun tidak akan mendapatkan ini sekiranya tidak diberi hidayat oleh Allah.

4- Ketika telah masuk Syurga maka mereka membaca AL-HAMDULILLAH ALLADZI SODAQONAL WA’DU WA AURATSANAL ARDHO maksudya : Segala Puji bagi Allah yang telah menepati janji –Nya kepada kami dan telah mewariskan kepada kami bumi.

5- Ketika mereka telah di tempat masing-masing maka mereka membaca AL-HAMDULILLAH ALLADZI ADZ HABA ANNALHAZANA INNA ROBBANA LAGHOFURUN SYAKUUR, ALLADZI AHALLANA DAARAL MUQAMATI MIN FADHLIHI Maksudnya : Segala Puji bagi Allah yang menyingkirkan dari kami kesusahan, sungguh Tuhan kami Maha Pengampun lagi Terpuji. Yang menempatkan kami di tempat tinggal kekal, semata-mata dari Kurnia-Nya (Surah Fathir :34-35).

6- Ketika selesai makan mereka membaca ALHAMDU LILLAHI RABBIL AALAMIN.

PERBAHASAN KETUJUH : KELEBIHAN BERZIKIR DENGAN ALHAMDULILLAH

Kalimah ALHAMDULILLAH adalah merupakan kalimah yang paling disukai dan diredhoi oleh Allah SWT sebagaimana yang dinyatakan oleh Ali bin Abi Tholib r.a :

Maksudnya :”Daripada Ibnu ‘Abbas r.a katanya: Berkata Umar r.a sesungguhnya kami telah mengetahui kelebihan SUBHANALLAH dan LA ILAHA ILLALLAH, maka apakah dia kelebihan ALHAMDULILLAH? Ali r.a menjawab : Kalimah yang paling disukai Allah untuk diriNya dan kalimah yang diredhoi Allah untuk diriNya.”

1) Kelebihan berdzikir dengan ALHAMDULILLAH adalah sangat besar sehingga memenuhi timbangan amalan.

Daripada Abi Malik Al-Asy’aari katanya, Rasulullah SAW bersabda : “Suci itu separuh daripada iman dan ALHAMDULILLAH itu pahalanya memenuhi timbangan SUBHANALLAH dan ALHAMDULILLAH pahala keduanya memenuhi ruangan diantara langit dan bumi.”

2) Doa yang paling baik ialah doa yang dimulakan dengan kalimah ALHAMDULILLAH.

Daripada Jabir bin Abdullah r.a katanya, bersabda Nabi SAW “ Sebaik-baik dzikir ialah LA ILAHA ILLALLAH dan sebaik-baik doa yang dimulai dengan ALHAMDULILLAH

3) Memuji Allah membaca ALHAMDULILLAH ketika mendapatkan sesuatu yang menyenangkan.

Disunatkan bagi orang yang mendapat suatu nikmat atau terhindar dari bahaya hendaklah melakukan sujud syukur kepada Allah SWT dan mengucapkan puji kepada Allah SWT.

Tentang masalah ini banyak sekali ditemukan nas berupa hadis dan atsar.

Dari Amr bin Maimun yang menceritakan tentang tebunuhnya Umar bin Khattab r.a yang bermaksud:

“Sesungguhnya Umar bin Khattab r.a mengutus anaknya yang bernama Abdullah untuk menemui Aisyah r.a guna minta izin agar dapat ia berkubur bersama sahabatnya (Yakni Nabi SAW dan Abu Bakar r.a).

Manakala Abdullah tiba kembali kepadanya, ia bertanya: “Apakah hasilnya?”

Abdullah menjawab: “Apa yang kau ingatkan, wahai Amirul Mukminin, dapat disetujui Aisyah.”

Umar menjawwab : “ALHAMDULILLAH (segala puji bagi Allah)tidak ada sesuatu yang lebih penting bagiku daripada kesediaannya itu”

( Riwayat Bukhari)

4) Memuji Allah dengan memakai pakaian baru.

Doanya seperti berikut..

Alhamdulillah hilldzi kasana haza..” maksudnya segala pujian bagi Allah yang telah memberikan pakaian pada kami.

5) Nabi SAW bersabda:

Jika makanan itu mengandungi 4 perkara maka sempurnalah makanan tersebut.

(1) Jika makanan itu halal (2) Jika di makan di sebut nama Allah (3) Jika banyak orang yang memakannya (4) Jika selesai membaca ALHAMDULILLAH

6) Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasululllah SAW bersabda:

Dua kalimah yang ringan pada lidah, berat dalam timbangan dan dicintai oleh Allah iaitu: SUBHANALLAH WA BI HAMDIH SUBHANALLAH HIL A’DZIM.

7) Di dalam sebuah hadis ada diberitakan bahawa pernah sekali baginda SAW pergi ke suatu tempat didalam perjalanan itu baginda SAW melihat Abu Hurairah r.a yang sedang menanam satu pokok lalu Rasulullah SAW bertanya kepadanya,

“Apakah yang engkau perbuat?”

Jawabnya “ Aku menanam pokok”

Lalu Rasulullah SAW bersabda “Ku khabarkan kepadamu tentang sebaik-baik pohon yang ditanam iaitu dengan membaca, yang mana satu pohon dari kalimah-kalimah ini iaitu : SUBHANALLAH WAL HAMDULILLAH WA LAA ILAHA ILLAALLAH WAL ALLAHU AKBAR. Maka akan tertanamlah satu pohon bagi pembacanya didalam syurga.

8) Siapa yang diberi oleh Allah 4 sifat maka bererti ia telah diberi sesuatu yang lebih baik daripada apa yang diberikan Allah kepada keluarga Nabi Daud daripada dunia itu:

a) Takut kepada Allah dalam keadaan sembunyi atau terang.

b) Hemat dalam kekayaan dan kemiskinan.

c) Adil di waktu marah atau redha.

d) Memuji Allah di dalam keadaan senang dan susah.

9) Rasulullah SAW bersabda: “Tiada Allah memberikan nikmat pada hamba. Baik kecil atau besar kemudian orang itu membaca ALHAMDULILLAH (memuji Allah) melainkan ia telah diberi sesuatu yang lebih besar dari apa yang telah diterima itu (yakni ucapan Alhamdulillah itu bagi Allah lebih besar daripada nikmat yang diberikan kepada orang itu)

10) Seorang Ulama Tabiin’ berkata;

“Siapa merasa menerima nikmat hendak ia banyak membaca ALHAMDULILLAH dan siapa banyak risau hendaklah banyak membaca ISTIGHFAR dan siapa merasa tertekan oleh kemiskinan maka hendaklah banyak membaca LA HAU LAAWALA QUWWATA ILLA BILLAHIL A’LIYYIL A’ZIM.”

11) Sa’id bin Jubair berkata;

“Orang pertama yang masuk ke dalam Syurga ialah orang yang selalu mengucap ALHAMDULILLAH dalam keadaan senang atau susah.”

12) Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda “Barangsiapa mengucapkan SUBHANALLAH WAL HAMDULILLAH WA LAILAHAILLAH WAL ALLAHU AKBAR WA LA HAW LA WALA QUWWATA ILLAH BILLAH HIL A’LIYYIL ADZIM.. Dengan ikhlas di dalam hatinya maka Allah berfirman “Hambaku telah menjadi orang yang taat dan dia telah menyerahkan dirinya kepadaKu.”

13) Dari Anas r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda “SUBHANALLAH WAL HAMDULILLAH WA LAILAHAILLAH WAL ALLAHU AKBAR ia akan mengugurkan dosa-dosa sebagaimana daun-daun gugur daripada pokok.”

14) Dari Abdullah ibnu Umar r.anhuma meriwayatkan aku mendengar Rasulullah SAW bersabda “Barangsiapa yang membaca SUBHANALLAH WAL HAMDULILLAH WA LAILAHAILLAH WAL ALLAHU AKBAR akan dituliskan baginya setiap huruf dengan sepuluh ganjaran.”

15) Dari abu Tolhah ra meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda : barangsiapa mengucapkan LAILHAILLALLH,dia akan memasuki Syurga atau Syurga wajib baginya .dan barangsiapa mengucapkan SUBHANALLAHI WABIHAMDIHI Seratus kali maka 124.00 kebaikan akan ditulis baginya . Para Sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah jika demikian maka pada hari kiamat tiada seorang dari kami yang akan binasa kerana kebaikan akan melebihi dosa-dosa?” Nabi SAW menjawab “(Sebahagian manusia akan tetap binasa) Mereka akan datang dengan membawa begitu banyak kebaikan yang jikalau kebaikan-kebaikan ini di letakan di atas sebuah gunung nescaya ia akan hancur tetapi apabila dibandingkan dengan nikmat-nikmat Allah semua kebaikan itu akan habis kemudian akan diberi pertolongan oleh Allah bagi mereka yang dikehendaki semata-mata dengan Rahmatnya.”

16) Rasulullah SAW bersabda

Empat perkara barangsiapa diberinya maka sesungguhnya ia telah diberi keuntungan dunia dan akhirat : (1) Lidah yang selalu zikir (2) Hati yang selalu syukur (3) Badan yang selalu sabar (4) Isteri yang mu’minah lagi solihah

17) Abul Laits As-Samarqandi meriwayatkan dengan sanadnya dari Anas bin Malik ra berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda : “Sesunggunya Allah suka kepada hamba jika makan atau minum lalu mengucapkan ALHAMDULILLAH.”

18) Abul Laits As-Samarqandi meriwayatkan dengan sanadnya dari Asma’ binti Yazid berkata: Saya telah mendengar Rasulullah SAW bersabda : “Apabila Allah mengumpulkan makhluk yang pertma hingga yang akhir maka datang penyeru berseru dengan suara yang dapat didengar oleh semua makhluk : “Kini akan diketahui oleh semua makhluk siapakah yang patut mendapat kehormatan pada hari ini?” .Seruan pertama “Bangunlah orang-orang yang selalu merenggangkan pinggangnya dari tempat tidur !.” Maka bangunlah mereka dan jumlah mereka adalah sedikit, kemudian seruan kedua : “Bangunlah orang-orang yang tidak dapat dilalaikan oleh dagangan (jual-beli ) untuk dzikir kepada Allah!” Maka bangunlah mereka dan jumlah mereka adalah sedikit .kemudian seruan ketiga : “Bangunlah mereka yang selalu Syukur yakni Memuji Allah dalam keadaan senang dan susah!” Maka bangkitlah mereka dan merekapun adalah sedikit, setelah itu diadakan hisab untuk semua manusia.

PERBAHASAN KELAPAN: PENGAJARAN DAN RAHSIA ALHAMDULILLAH

Terkandung didalam firman Allah ALHAMDULILLAH ini, beberapa pengajaran dan rahsia yang sangat berfaedah diantaranya:

Pengajaran pertama

Kalimah ALHAMDULILLAH ini membawa maksud bahawa Allah SWT terpuji sebelum dipuji oleh sesiapa yang memuji, sama ada dipuji atau tidak Allah tetap terpuji sejak azali sehinggalah selama-lamanya.

Pengajaran kedua

Berkata Imam Muhammad Ar-Rozi didalam tafsirnya bahawa perkataan ALHAMDULILLAH ada lapan huruf dan pintu-pintu syurga juga ada lapan, maka barangsiapa yang mengucapkan perkataan ALHAMDULILLAH dengan keikhlasan dan kebersihan hatinya maka dia layak memasuki kelapan-lapan pintu syurga diakhirat nanti.

(Disebutkan didalam Tafsir Fakhrur Rozi jilid 1 ms 225)

Pengajaran ketiga

Perkataan ALHAMDULILLAH menunjukkan bahawa seluruh puji-pujian dan syukur yang telah diucapkan oleh sesiapa sahaja samaada para Malaikat yang menjaga Arasy, para Malaikat yang menjaga Qursi Allah, seluruh penduduk langit dan bumi, seluruh Nabi-nabi dan Rasul-rasul sejak Nabi Adam sehinggalah Nabi Muhammad SAW, para Wali, Para Alim Ulama’ dan seluruh makhluk semuanya kembali kepada Allah. Sebagaimana hal ini dijelaskan dalam sepotong ayat, firmanNya dalam surah Al-Israa’ ayat 44:

Maksudnya: “Tujuh petala langit dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya sentiasa mengucap tasbih bagi Allah dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memujiNya, akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka sesungguhnya ia adalah Maha Penyabar lagi Maha Pengampun.”

Pengajaran keempat

Kita dapati kalimah ALHAMDULILLAH menunjukkan bahawa Allah memuji dirinya sendiri ketika membuka dan memulakan ucapan didalam kitabNya.

Ini menunjukkan bahawa hanya Allah sahaja yang layak dan boleh memuji diriNya sendiri, adapun selain Allah tidak diizinkan berbuat demikian bahkan ditegah oleh syara’ yang mana hal ini dijelaskan didalam sepotong ayat firman Allah dalam surah An-Najm ayat 32.

Maksudnya: “ Maka janganlah kamu memuji-muji diri kamu. Dialah sahaja yang lebih mengetahui akan orang-orang yang bertaqwa.”

Rasulullah SAW bersabda,

Maksudnya: Telah berkata Al-Mifdad ,aku dengar Rasulullah SAW bersabda: “lumurkan tanah dimuka orang yang memuji dirinya sendiri.”

(Riwayat Ahmad)

Pengajaran kelima

Berkata Imam Muhammad Ar-Rozi: Kalimah pertama yang diucapkan oleh Nabi Adam a.s ialah ALHAMDULILLAH, yakni apabila ruh sampai ke pusatnya.

MAKNA ROBB

Makna Robb ialah Al-Malik iaitu nama bagi yang menjadi raja pada hari kebangkitan dan perkataan yang menunjukkan bahawa Allah SWT bukan sahaja pencipta kepada alam tetapi allah juga adalah Robb kepada alam dengan makna menguasai, memiliki, mentadbir dan mengurus alam mengikut kehendakNya.

MAKNA AL-’ALAMIN

Makna Al-’Alamin iaitu semesta alam yang merangkumi jin, manusia dan malaikat.

Ulama’ berselisih pendapat dalam menghuraikan perkataan Al-’Alamin kepada beberapa tafsiran.

1- Berkata Ibnu ‘Abbas ra : Makna Al-’Alamin iaitu jin dan manusia, berdalilkan firman Allah dalam surah Al-Furqan maksudnya : “Maha berkat Tuhan yang menurunkan Al-Furqan kepada hambanya (Muhammad) untuk menjadi peringatan dan amaran bagi seluruh jin dan manusia.”

2- Berkata Qatadah: Makna Al-’Alamin iaitu setiap yang wujud selain Allah ta’ala.

3- Berkata Al-Husin bin Al-fadhl: Makna Al-’Alamin iaitu generasi manusia setiap zaman adalah ‘alam.

4- Berkata Al-Farra’dan Abu Ubaidah: “Makna Al-’Alamin iaitu yang menunjukan atas ‘Alam yang memberikan pengertian kepada yang berakal dan yang berakal itu ada empat bangsa: manusia ,jin,malaikat dan syaitan.”

5- Berkata Wahab bin Munabbah: “Sesungguhnya Allah mempunyai lapan belas ribu ‘Alam dan dunia adalah salah satu darinya”

6- Berkata abu Sa’id Al-Khudri: “Sesungguhnya Allah mempunyai empat puluh ribu ‘Alam dan dunia daripada timur hingga ke barat baru satu ‘Alam.”

7- Berkata Muqatil: “Sesungguhnya Allah mempunyai lapan puluh ribu ‘Alam, empat puluh ribu ‘Alam di darat dan empat puluh ribu lagi di laut.”

8- Berkata Sa’id bin Musayyib: “Sesungguhnya Allah mempunyai seribu ‘alam, enam ratus ‘alam di laut dan empat ratus alam didarat.”

Kesimpulannya, berkata Imam Al-Qurtubi “Pendapat yang sohih ialah pendapat yang pertama kerana ia merangkumi semua makhluk yang wujud berdalilkan firman Allah dalan surah Asy-Syu`araa’ ayat 23 dan 24:

Maksudnya: “Firaun berkata (dengan sombongnya)Dan apa dia Tuhan sekalian alam itu?.Nabi Musa a.s menjawab “Dialah yang memiliki dan mentadbirkan langit dan bumi serta segala yang ada diantara keduanya, kalaulah kamu mahu mendapat keyakinan dengan berdalil maka inilah jalannya.”

MAKNA WA BIHI

Makna WA BIHI iaitu hanya kepada Allah.

MAKNA NASTA`IN A’LA UMURID DUNNYA WADDIN

Makna NASTA`IN A’LA UMURID DUNNYA WADDIN iaitu kami meminta pertolongan atas beberapa perkara dunia dan agama.

MAKNA SOLAWAT

Solawat apabila di sandarkan kepada Allah maka ia merupakan RAHMAT dan apabila di sandarkan kepada Malaikat maka ia merupakan ISTIGHFAR dan apabiala di sandarkan kepada manusia, jin dan seluruh makhluk yang lainya maka ia merupakan DOA.

MAKNA SAYYID

Sayyid ialah ketua bagi sesuatu kaum atau orang yang banyak tenteranya atau orang yang menumpu manusia kepadanya ketika kesusahan atau orang yang mempunyai sifat lemah lembut dan tidak cepat kepada marah.

MAKNA MUHAMMAD

Makna Muhammad iaitu yang di puji dan Nabi Muhammad SAW ialah Nabi dan Rasul yang akhir,iaitu daripada bangsa ‘arab keturunan kuraiyhs tidak ada Nabi atau Rasul kemudian daripadanya,tiap-tiap seorang yang mengaku menjadi Nabi atau Rasul kemudian daripadanya maka itu adalah satu pendustaan yang sangat besar terhadap Rasulullah SAW.

Nabi Muhammad SAW ialah semulia-mulia Nabi dan syari’atnya menjadi syari’at kepada sekalian manusia hinggalah hari qiamat,

MAKNA NABI

Nabi ialah seorang manusia lelaki yang merdeka yang selamat daripada seorang ibu penzina dan selamat daripada seorang ayah yang hina martabatnya di wahyukan dengan ajaran dan tidak di syari’atkan untuk menyampaikanya, seperti Nabi Khaidir dan Nabi Sith dan lain-lainya.

MAKNA RASUL

Rasul ialah seorang manusia lelaki yang merdeka yang selamat daripada seorang ibu penzina dan selamat daripada seorang ayah yang hina martabatnya, di wahyukan dengan ajaran dan di syari’atkan untuk menyampaikannya, seperti 25 para rasul alaihimussola tuwassalam.

KELUARGA NABI: Mereka ialah daripada Bani Hashim dan Bani Mutalib.

MAKNA SAHABAT

Sahabat ialah mereka yang berkumpul dengan Rasulullah SAW dalam keadaan beriman setelah di angkat menjadi Rasul pada masa hidupnya dan hidupnya di atas muka bumi dan mati dalam keadaan beriman

MAKNA LAHAULA WALA QUWWATA ILLAH BILLAHIL ALIYYIL A’ZIM

Makna LAHAULA WALA QUWWATA ILLAH BILLAHIL ALIYYIL A’ZIM Iaitu tidak ada daya dan kekuatan kecuali hanyalah bagi Allah yang Maha Mulia dan Maha Agung.

RUKUN ISLAM: Rukun Islam itu ada lima.

1- Mengucap dua kalimah syahadah

Lafaznya: ASYHADU ALLA ILHA ILLALLAH . WA ASYHADU ANNA MUHAMMADAR RASULULLAH

Maksudnya : aku naik saksi bahawa tiada tuhan yang layak di sembah selain Allah

Dan aku naik saksi bahawa Nabi Muhammad itu adalah pesuruh Allah

2- Mendirikan solat fardhu lima waktu sehari semalam …termasuk solat juma’t

3- Mengeluarkan zakat apabila cukup haul dan nisabnya

HAUL iaitu: cukup pusingan satu tahun NISAB iaitu: cukup bilangan atau hitungan yang di tentukan oleh syara’

4- Puasa pada bulan Ramadhan. hanya di wajibkan setahun sekali dan bulan ramadhan adalah bulan yang ke Sembilan dalam tahun hijriyyah.. dan ia merupakan perhiasan bagi semua bulan dan bulan yang mempunyai kelibihan dan ketinggain yang mana kelibihan dan ketinggan tersebut tidak akan terdapat pada bulan-bulan yang lainya,

5- Mengerjakan haji di Baitullah sekali seumur hidup bagi orang yang mampu melaksanakannya.

RUKUN IMAN : Rukun Iman itu ada enam.

1- Beriman kepada Allah

Maksudnya: mempercayai dengan penuh keyakinan bahawa allah SWT yang mencipta alam ini dan dialah tuhan yang berhak disembah dan ditunjukan segala pergantungan hidup dan kita tidak boleh memperhambakan diri dalam segala amalan dunia atau akhirat melainkan kerananya. seterusnya mempercayai dengan penuh keyakinan bahawa allah bersifat dengan segala sifat kesempurnaan seperti maha mendengar ,maha mengetahui ,maha pengasih ,maha pemurah,maha adil dan sebagainya

2- Beriman kepada para Rasul

Allah SWT mewajibkan atas setiap orang islam supaya beriman kepada semua Rasul yang telah di utuskan olehnya tanpa membeza-bezakan antara seorang Rasul dengan yang lain,yang mana hal ini di jelaskan oleh allah SWT dalam firmanya dalam surah al-baqarah ayat 285.

Maksudnya:kami tidak membeza-bezakan antara seseorangpun dengan yang lain daripada Rasul-Rasul-nya

JUMLAH PARA NABI

Menurut keterangan dalam riwayat oleh mardawih bahawa jumlah para Nabi ialah sebanyak 124.000 orang sementara yang menjadi Rasul sebanyak 313 orang sahaja.walau bagaimanapun ,jumlah yang sebenarnya hanya Allah SWT yang maha mengetahui

3- Beriman kepada para Malaikat

4- Beriman kepada Kitab-kitab

5- Beriman kepada hari Kiamat

6- Beriman kepada Qada’ dan Qadar,,

Makna Lailahaillah: Iaitu tidak ada yang di sembah secara haq di dalam wujudnya kecuali Allah.

"LEBIH BAIK BERDIAM SAHAJA..."


Rasulullah s.a.w sedang duduk-duduk bersama Sayidina Abu Bakar As-Siddiq r.a. Datang seeorang lelaki lalu memarahi dan mencaci hamun Sayidina Abu Bakar. Sahabat mulia itu diam sahaj, tenang mendengar tohmahan dan seranah yang dihamburkan kepadanya. Melihat Sayidina Abu Bakar tidak bertindak apa-apa, lelaki itu menjadi semakin berang..

Suaranya semakin lantang mengherdik dan menengking Sayidina Abu Bakar. Namun caci dan makian itu tidak juga menyebabkan Sayidina Abu Bakar marah, apa lagi bertindak balas. Beliau duduk diam sahaja di samping Rasulullah s.a.w . Dibiarkan lelaki yang tidak dikenali itu terus dengan galak dengan perangai bodohnya.

Barangkali berasa malu kerana gagal membuatkan Sayidina Abu Bakar bertindak sesuatu, lelaki itu mencaci sekali lagi. Kali ini lebih hebat dan lebih keras. Dituduh, dikeji dan difitnah dengan pelbagai tuduhan serta bahasa yang sungguh kesat, sehingga Sahabat mulia itu berasa maruahnya tercabar.

Akhirnya perlahan-lahan Sayidina Abu Bakar bingkas. Melihat Saiyidina Abu Bakar r.a bangun, Rasulullah s.a.w yang sedari tadi terdiam tenang pun ikut bangun. Spontan menarik perhatian Saiyidina Abu Bakar, lalu beliau pun bertanya, "Wahai Rasulullah! Adakah kau juga mahu membelaku?"
"Tidak," jawab Rasul sepatah. "Waktu engkau berdiam diri tadi, Malaikat berdiri di sampingmu untuk menafikan kata-kata lelaki itu. Tetapi apabila engkau bangkit untuk menjawab caciannya, malaikat pun beredar meninggalkannu. Sekarang yang datang adalah syaitan."

Untuk apa syaitan datang? Untuk mengapi-apikan lagi suasana yang sudah mulai panas. Untuk melaga-lagakan lagi keretakan yang sudah mulai pecah dan menyerpih.

Allah s.w.t mengingatkan dalam firmanNya: "Dan apabila mereka mendengar perkataan yang tidak berfaedah, mereka berpaling daripadanya dan berkata, Bagi kami amal-amal kami dan bagimu amal-amalmu, kesejahteraan atas dirimu, kami tidak ingin bergaul bersama orang-oang yang jahil."
(Surah Al-Qassas ayat 55)



Sunday, April 4, 2010

Hari yang betul-betul menguji tahap keimanan..


Assalamua'laikum wa rahmatullahi wabarakatuh...

Sudah lama benar ana tidak menjenguk ke blog, apatah lagi nak mengupdatekan blog..
Beberapa hari ni ana tidak berapa sihat, selepas pulang dari Solo dan Jakarta Indonesia..
Melayan kesihatan anak-anak ana yang tidak sihat, kini ana pula penyambung demam dari anak-anak.. Penyakit itu kan penghapusan dari Allah..ana terima dengan redho dan sabar..Mudah-mudahan ada pahala disisi-Nya...InsyaAllah..
Dalam tidak sihat dan lemah ni..ana mencari kekuatan untuk menaip sebab ade banyak permasalahan yang datang melanda ana, jadi ana fikir ada baiknya ana luahkan disini..buat sahabat ana ...

Kelmarin ana ada chat dengan seorang sahabat, kira pangkat adik..Banyak perkara yang ana bincangkan tentang permasalahan ilmiah, pengalaman dan berbagai lagi.. sampailah masuk dalam bab wahhabi, sahabat ini dengan emosi, menolak agar tidak membicarakan tentang wahhabi... Jadi ana fikir mengapa dia mengelak dari membicarakan fahaman tersebut.. Dari situ ana duga sahabat ana ini tentang pendapat dan fahaman beliau..ternyata sahabat ana ini terlalu emosi dalam mempertahankan tokoh-tokoh fahaman ini.. Dan sahabat ana bilang lebih baik dia diam dari berhadapan dengan org yang jahil... Bukan ana tidak kenal dan tidak tahu sejarah tokoh-tokoh itu semua, cuma ana menduga.. Dan sahabat ana mengatakan ana fanatik mazhab..bagi ana, sahabat ana itu yang terlalu fanatik dengan tokoh tersebut... ikutlah fahaman dan aqidah Ahli Sunnah Wal Jama'ah.. selamat dan menyelamatkan..

Kalau kita sedang mengkaji tokoh-tokoh tersebut jangan pula tokoh-tokoh yang lain sudah tidak dipandang lagi bahkan memperlekeh dan mempertikaikan ulama'-ulama' yang lain... Selain itu sahabat ana ini ade menyatakan didunia sekarang susah untuk menemui lagi Ahlul Bait.. Sungguh ana terkilan.. bahkan menyatakan ulama'-ulama' tersebut Syiah... Astaghfirullah.. sahabat ana ini sudah melabelkan satu fitnah yang ana tidak boleh terima.. Barulah ana nampak pemikiran sahabat ana ini secara terus.. Sungguh apabila emosi tidak dapat dikawal, menampakkan segala keaiban....

Mungkin ade hikmah disebalik apa yang berlaku antara ana dengan sahabat ini.. Mudah-mudahan ukhwah yang terjalin berpanjangan atas kasih sayang dan petunjuk dari Allah..

Sehingga sekarang sahabat ana itu mengelak untuk berchat dengan ana.. Ana doakan perjuangan sahabat atas cahaya kebenaran yang benar sebenarnya dan sentiasa dalam petunjuk dan hidayah dari Allah.. Amin..

Wahai hati...
Aku memohon kekuatan...
Kekuatan cahaya yang terang benderang..
Supaya terpelihara dari segala kepesongan...

Wahai hati...
Tabahlah dikau dalam menempuh segala dugaan yang tidak pernah surut dan padam..
Sedangkan Allah sentiasa bersama orang yang bersabar..

Wahai hati..
Janganlah dikau bersedih atas perkataan manusia yang menghinakanmu
Sungguh Allah lebih tahu akan perihal dirimu..
Sungguh Allah lebih tahu hal yang terdalam di lubuk hatimu..
Sungguh Allahlah yang dapat menyingkap segala rahsia..

Wahai hati..
Tenanglah dikau dalam menghadapi segala situasi..
hiasilah dirimu dengan segala sifat mahmudah..

Akhir sekali dari ana..
Bingkisan kata-kata dari Al-Imam Al-Ghazali..

" Ibadah itu adalah buah dari ilmu, Faedah dari umur, Hasil usaha dari Hamba Allah yang Kuat, Barang berharga dari para Wali(Kekasih Allah), Jalan yang ditempuh oleh mereka yang Mulia, Tujuan dari orang-orang yang mempunyai cita-cita, Syiar dari golongan yang terhormat, pekerjaan dari orang-orang yang berani berkata jujur, pilihan dari mereka yang berwaspada dan jalan menuju ke Syurga..."